Sunday, 14 December 2008

TRENDFesyen Retro kembali menyeri - published in Berita Harian Ekstra, Sat, 13 Dec 08

TRENDFesyen Retro kembali menyeri
By Zaharian Osman

SEKIRANYA muzik pop yeh-yeh dikaitkan dengan zaman 1960-an, bagaimana pula dengan fesyen? Ibarat roda, fesyen juga mengalami putarannya semula.

Retro - itulah istilah tepat menggambarkan fesyen yang dikemukakan kali ini.

Penulis sempat keliling ke beberapa butik untuk mencari sesuatu yang dapat memenuhi cita rasa setiap golongan usia yang ingin tampak bergaya tetapi tidak keterlaluan mengenakan fesyen tertentu.

Di butik ModKebaya, di pintu masuk Hotel Golden Landmark, ia menjanjikan kelainan yang segar dan trendy.


Seperti gaun pendek gangsa yang diilhamkan daripada peragawati terkenal, Twiggy di zaman '60-an ini, ia boleh dipakai untuk majlis formal atau makan malam.

Lebih bergaya lagi dengan cekak rambut atau hiasan kepala yang dipadankan menambah keayuan pemakai.

Potongan Empire atau Baby Doll ini antara yang digemari sekarang kerana tidak terlalu menampakkan potongan punggung atau kelihatan seksi.

Menurut pereka fesyen Zuhri Sukaimi, 46 tahun, yang telah berkecimpung dalam bidang ini selama tujuh tahun: 'Saya bermula dengan membuat potongan fesyen lelaki tetapi akhirnya menggemari fesyen wanita kerana ia boleh dipelbagaikan.'

Apa yang membuat pakaian di butik ini lebih menyerlah ialah ia berkonsep moden dan purata pelanggannya daripada golongan remaja belasan tahun sehingga 50-an tahun.



Ini jelas kerana potongan blaus merah jambu daripada fabrik lycra dipadankan dengan skirt panjang mengalir terus ke paras buku lali. Ia potongan kegemaran wanita daripada usia 40-an hingga 50-an tahun untuk menutupi perut yang berlebihan lemak.

Malah potongan ini atau fesyen Twiggy yang ditempah khas mengikut ukuran juga digemari oleh wanita hamil sehingga usia kandungan tujuh bulan kerana potongan longgar ini membolehkan mereka rasa selesa mengenakannya ke pejabat.

Satu lagi pilihan - baju kurung moden panjang dengan kelonggaran ditumpukan pada bahagian perut. Ada yang memilih seluar potongan nelayan bercerut getah untuk memudahkan setiap pergerakan.




Wanita bekerja atau golongan karyawan pula akan memilih blaus merah jambu beropol dipadankan dengan seluar Shanghai dan mengenakan but. Penampilan sederhana tetapi menepati cita rasa golongan muda yang gemar bergaya.

Malah blaus putih berlisu paling banyak menerima tempahan kerana ia boleh digunakan untuk pelbagai majlis seperti kenduri, menziarahi orang sakit, majlis formal juga kebiasaan pengantin wanita pergi 'menyembah' ke rumah ibu bapa dan saudara-mara.

Pilihan fabrik merangkumi lycra, Shantung, cotton dan voile yang kesemuanya tidak tebal dan tidak merimaskan pemakai.

Harga blaus daripada $80 atau satu sut boleh mencecah antara $180 sehingga $240 sahaja.