Thursday, 25 August 2011

modkebaya featured in Berita Harian

Mudah cetak
E-mel

25 Ogos 2011

EKSTRA!

WANITA
Kurung Pesak Tetap Jadi Pilihan

Potongan empire beri kelainan pada pakaian tradisional

Oleh
Amirul Putra
POTONGAN baju kurung labuh dan berpesak masih menjadi pilihan.

Inilah cita rasa mereka yang gemar mengembalikan potongan sebegini dengan adunan kontemporari.

Purata wanita yang gemarkan kombinasi sebegini berusia antara 20-an dengan 50-an tahun.

Trend segar dan memberangsangkan ini jelas kelihatan ketika penulis ternampak 'peragawati' patung memperagakan beraneka baju kurung di ModKebaya di Pusat Beli-Belah Golden Landmark.

Tapi usah menerpa masuk ke dalam butik itu untuk membelinya. Ini kerana kebanyakan baju di rak-rak sudah ditempah pelanggan sejak tiga bulan lalu, khusus untuk dipakai pada musim Lebaran nanti.

Ungkap pemilik ModKebaya, Encik Zuhri Sukaimi:

'Terdapat peningkatan kesedaran dengan kebanyakan mereka menempah awal dan mendapatkan fabrik terkini untuk menampakkan kelainan.'

Daripada sutera satin kumal hingga kain linen yang menjadi tumpuan sejak dua tahun lalu, kini fabrik kapas menjadi kegemaran ramai.

Cuaca yang hangat kebelakangan ini juga adalah punca bahan kapas menjadi pilihan utama.

'Selain fabrik, memang penting seseorang itu berani mengenakan apa jua potongan atau fesyen untuk membangkitkan keyakinan diri,' ujar Encik Zuhri lagi.

Selain itu, potongan empire memberi kelainan pada pakaian tradisional untuk Lebaran ini lebih-lebih lagi jika ia dipadankan dengan kain jalur-jalur atau batik yang membuat kombinasi tampak unik dan versatil - boleh dipadankan dengan baju potongan lain juga.

Ada pula yang memilih potongan Kota Bharu moden untuk menambahkan keceriaan semasa berkunjung ke rumah sanak saudara.

Selain corak fabrik yang simple, untuk musim Lebaran ini juga diperkenalkan bahan kapas dengan motif jalur-jalur atau kotak-kotak. Akan tampak menarik jika kain ini dijadikan baju kurung untuk kaum lelaki dan wanita.

Butik ini juga kini sudah mula mendapat tempahan daripada pasangan mempelai yang mahu menggunakan pakaian dengan corak pelbagai motif untuk bertandang ke rumah ibu bapa serta saudara-mara.

Bagi yang lebih berani, ada juga yang sudah mula membeli 'hantaran' fesyen kontemporari pelbagai motif dengan warna garang seperti jingga, ungu, merah atau pilihan luas motif kotak-kotak dan jalur-jalur.

Nota: Penulis seorang penggiat seni.