Berita Harian, 1 May 2008
Ekstra!
Suntikan baru
Butik dapatkan ilham daripada filem Melayu dan pertunjukan fesyen
By Zawiyah Salleh
FESYEN baju kurung dan kebaya labuh atau pendek adalah antara pakaian tradisional wanita Melayu yang telah wujud sejak beberapa dekad lalu.
Bagi menampilkan fesyen yang dapat diterima oleh semua peringkat usia - daripada yang muda hingga kepada yang berumur - maka dari masa ke masa fesyen tradisional itu diberi nafas baru.
Menyedari hal ini, tiga orang rakan yang merupakan pereka fesyen yang hanya mahu dikenali sebagai Jon Ash dan Romi, manakala ketua perekanya pula, Encik Zuhri Kamy, 46 tahun, telah memberi suntikan terbaru pada fesyen tradisional tersebut bagi melahirkan baju kurung dan kebaya moden yang sesuai pada sebarang masa.
Namun begitu, ciri-ciri tradisional tetap dipelihara agar fesyen yang tidak lekang dek panas dan tidak lapuk dek hujan itu tetap menjadi pilihan wanita tanpa kira usia.
Fesyen pakaian tradisional berunsur moden ini boleh didapati di butik Modkebaya yang terletak di tingkat 1 Golden Landmark. Ia merupakan gabungan fesyen Timur dengan Barat.
Encik Zuhri berkata: 'Kami mendapat ilham bagi rekaan terbaru baju kurung dan kebaya daripada filem-filem lama Melayu yang sering disiarkan di televisyen seperti Ibu Mertuaku, Sarjan Hassan dan Pendekar Bujang Lapuk, yang kebanyakan seniwatinya menggunakan pakaian tradisional.
'Contohnya baju kurung pada tahun-tahun '50-an dan '60-an lebih banyak menggunakan pesak gantung, sementara baju kurung yang ada sekarang menggunakan kekek. Inilah antara perbezaan yang ketara antara kedua-dua zaman itu dan ia tetap dikenali sebagai baju kurung tradisional,'
ujarnya.
Apakah perbezaannya antara baju kurung yang menggunakan kekek dengan baju kurung pesak gantung.
Menjawab soalan ini Encik Zuhri berkata: 'Perbezaannya begitu jelas. Bahagian bawah baju kurung yang menggunakan pesak gantung agak kembang sedikit dan ini membolehkan kaum wanita yang berbadan dapat memakainya dengan selesa. Sementara baju kurung berkekek pula potongannya agak lurus.'
Menyentuh tentang kain sarung pula, beliau menambah ia boleh dipakai dengan kain lipat atau kain plet tepi seperti sekarang ini.
Wanita muda yang bergerak pantas dan lasak bolehlah menggunakan seluar panjang fesyen 'Shanghai' yang bahagian bawahnya agak kembang seperti kain.
Bagi menampilkan kebaya labuh atau pendek moden pula, para pereka fesyen itu mendapatkan idea melalui pertunjukan fesyen pakaian seperti Pesta Fesyen Singapura baru-baru ini.
Antara pereka fesyen yang mengambil bahagian dalam pesta itu ialah Ashley Isham, anak watan Singapura yang berjaya di London.
'Kami cedok beberapa ciri daripada pertunjukan dan majalah fesyen dan kemudian kami terapkan unsur-unsur moden pada fesyen yang diketengahkan.
'Contohnya baju kebaya diterapkan dengan ciri-ciri moden seperti potongan 'empayar line'.
'Baju kebaya moden ini boleh digayakan dengan seluar panjang Shanghai seperti baju kurung agar kelihatan lebih ringkas tetapi bergaya,' tambah Encik Zuhri.
Untuk melengkapkan pelbagai koleksi, Encik Zuhri menyatakan seorang pereka batik yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Fyzal membuat rekaan khusus untuk butik beliau bagi menambah bilangan rekaan fesyen yang sesuai untuk kaum wanita.
Sebagai melengkapi keperluan pelanggan, butik ini menyediakan pelbagai aksesori tambahan untuk disesuaikan dengan fesyen pakaian.
Copyright © 2005 SPH AsiaOne Ltd. All rights reserved.
Privacy Statement Conditions of Access Advertise @ AsiaOne